Pemindahan Teknologi Termasuk AI dari China Diperkukuh, Sabah Sasar Perkasa Pendidikan dan...

Pemindahan Teknologi Termasuk AI dari China Diperkukuh, Sabah Sasar Perkasa Pendidikan dan Inovasi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik pemindahan teknologi dari China sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib berkata, keterbukaan terhadap kerjasama antarabangsa, khususnya dengan China, penting bagi memacu agenda pembangunan modal insan dan teknologi berimpak tinggi.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Sabah-China Chamber of Commerce yang diketuai Presidennya, Frankie Liew, bersama Timbalan Presiden, Brett Chua, di sini hari ini.

Menurut James, inovasi merupakan pemacu utama pembangunan Sabah dan hubungan strategik kukuh antara dewan perniagaan itu dengan industri di China wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi membuka peluang kerjasama teknologi, pelaburan serta pembangunan kepakaran tempatan.

“Kementerian mengalu-alukan inisiatif pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selaras dengan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan kesediaan kementerian menyokong kerjasama yang memanfaatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan.

Sementara itu, Brett Chua memaklumkan China memiliki teknologi latihan TVET yang berpotensi dikongsikan, namun pelaksanaan memerlukan platform sesuai di Sabah, sekali gus menjadikan lawatan ini sebagai titik permulaan kepada kerjasama strategik kedua-dua pihak.