Ibu Bapa Dakwa Keselamatan Terabai Di Kompleks Sukan Likas, Jawapan Lembaga Sukan...

Ibu Bapa Dakwa Keselamatan Terabai Di Kompleks Sukan Likas, Jawapan Lembaga Sukan Sabah Dipersoal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kebimbangan terhadap tahap keselamatan di Dewan Gimnastik Kompleks Sukan Likas terus memuncak apabila ibu bapa mendakwa kemudahan rosak dibiarkan berlarutan, meskipun Lembaga Sukan Sabah (LSS) menyatakan siasatan awal dan tindakan segera telah diambil.

Dalam satu kenyataan, LSS memaklumkan pihaknya mengambil maklum penularan video keadaan dewan berkenaan di media sosial dan mendakwa beberapa isu telah ditangani, selain menegaskan komitmen memastikan keselamatan pengguna serta usaha mendapatkan peruntukan khas.

Bagaimanapun, ibu bapa dan atlet mendakwa keadaan sebenar di lokasi masih membimbangkan, dengan kewujudan kaca pecah, siling bocor, dinding merekah, peralatan rosak serta struktur bangunan yang semakin uzur.

Mereka berkata ada kawasan yang tidak lagi boleh digunakan kerana faktor keselamatan, manakala serpihan kaca tajam masih dilaporkan berada di laluan masuk.

Seorang ibu bapa berkata aduan telah dikemukakan sejak tahun lalu termasuk laporan rasmi kepada pihak pengurusan, namun tiada perubahan ketara berlaku.

Kanak-kanak yang menjalani latihan sehingga tiga kali seminggu terdedah kepada risiko kecederaan serius sekiranya tindakan segera tidak diambil.

Seorang gimnas pula memaklumkan kebocoran air dari siling semasa latihan sudah menjadi perkara biasa, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kesihatan.

Ibu bapa menegaskan mereka tidak menuntut pengubahsuaian mewah, sebaliknya hanya mahukan bahaya dihapuskan dengan segera.