Pemimpin Perlu Ikhlas Dalam Berjuang Untuk Rakyat, Bukan Gila Kejar Pangkat –...

Pemimpin Perlu Ikhlas Dalam Berjuang Untuk Rakyat, Bukan Gila Kejar Pangkat – Musa

0
SHARE

KUNAK – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengingatkan semua pemimpin di negeri itu agar terus memegang prinsip ikhlas berjuang untuk rakyat dan tidak gila mengejar pangkat.

Memetik laporan Bernama, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata niat bekerja kerana Allah itu penting dalam membantu meningkatkan diri serta rakyat Sabah.

“Kita bangunkan sabah, kita tolong rakyat kita dan secara perlahan-lahan kini kita nampak kemajuan Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Projek Perumahan Rakyat Sri Pangkalan di Jalan Kadazan di sini, hari ini.

Hadir sama ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah, Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Dalam pada itu, Musa turut meminta rakyat tidak terpengaruh dengan cakap bohong pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mencipta tuduhan liar iaitu pemimpin turun padang kerana pilihan raya umum sudah tiba.

“Saya turun padang untuk memastikan projek yang dilaksanakan serta peruntukan disalurkan dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan  pemimpin Barisan Nasional  Sabah bekerja sepanjang masa dan turun padang berjumpa rakyat tanpa mengira musim baik sebelum, semasa atau selepas pilihan raya.

Katanya hasil turun padang itu jika didapati ada projek sakit,  perkara tersebut perlu ditangani segera.

“Sebab itu apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan peruntukan besar untuk Sabah kita mahu projek daripada peruntukan terssebut disiapkan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita tidak mahu lagi projek ada tiang tapi tiada jana kuasa, ada loji tapi tiada air seperti projek di bawah pelaksanaan mantan menteri sebuah kementerian pusat,” katanya lagi.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Nilwan Kabang menyifatkan Musa sebagai pemimpin berpandangan jauh dan ikhlas berjuang.

Menurutnya Musa merupakan seorang usahawan berjaya dan terkenal di Sabah pada tahun 80-an sebelum bergelar ahli politik dengan menyertai parti USNO kemudian UMNO yang memperjuang nasib rakyat.