Ketua Menteri Alu-alukan Kerjasama 10 Star Cenima, 99 Speedmart Dalam Memacu Ekonomi...

Ketua Menteri Alu-alukan Kerjasama 10 Star Cenima, 99 Speedmart Dalam Memacu Ekonomi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan kerjasama strategik bersama sektor swasta yang berpotensi membawa pembangunan dan peluang ekonomi baharu kepada negeri ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif 10 Star Cinemas, En. Onn Norshal Hamzah dan Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart, Mr. Yong Eng Kwang, pada Khamis.

Menurut Hajiji, 10 Star Cinemas kini mengendalikan enam pawagam di Sabah, dengan dua lagi akan dibuka di Kinarut dan Kundasang, sekali gus memperluas industri hiburan di negeri ini.

“Menariknya, pawagam di Kundasang bakal memperkenalkan konsep pawagam pelancongan pertama di Malaysia. Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan terus menyokong usaha membina ekosistem kreatif, membuka peluang pekerjaan serta mengangkat karya anak Sabah ke peringkat nasional,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji memaklumkan bahawa 99 Speedmart kini mempunyai 287 cawangan di seluruh Sabah, mencatatkan jualan sebanyak RM945 juta pada tahun 2025 dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 rakyat Sabah.

“Saya turut dimaklumkan mengenai perancangan pembukaan cawangan francais 99 Speedmart di Kinabatangan yang dijangka memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik bersama syarikat berdaya maju yang berpaksikan kepentingan rakyat demi memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah yang seimbang dan inklusif.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.