
TENOM, SABAH – Penggunaan Troli sebagai pengangkutan penduduk dijangka berupaya mengetengahkan Kampung Pangi sebagai destinasi pelancongan.
Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata cadangan tersebut sedang diperhalusi pihaknya bersama-sama dengan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang merangkumi aspek keselamatan, operasi serta kaedah pelaksanaan.
“Pada tahun ini, saya ada berjumpa dengan Pengarah JKNS dan kita lihat sebenarnya pengangkutan di Kampung Pangi ada dua iaitu keretapi dan troli yang tidak diiktiraf iaitu Troli.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh terus menolak kemudahan Troli ini walaupun ia berbahaya tetapi, kalau kita melihat di negara-negara luar, kemudahan Troli ini boleh menarik kehadiran para pelancong untuk menaiki Troli.
“Jadi, kita telah berbincang dengan JKNS dan mereka (JKNS) akan membuat kerjasama dengan Ketua Kampung Pangi dan JKNS sendiri akan mengawal selia operasi Troli supaya penduduk kampung dapat mematuhi standard keselamatan supaya troli ini benar-benar selamat semasa digunakan,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Riduan turut diminta mengulas mengenai perkembangan fasiliti kesihatan di Pangi yang terletak sejauh 10kn dari Pekan Tenom.
“Di kawasan ini belum ada kemudahan kesihatan. Jadi, saya sudah bentang dan berdebat di Parlimen bahawa kawasan Pangi ini memerlukan dan terdesak untuk mendapatkan klinik kesihatan.
“Selain itu, kita juga telah membawa isu ini ke Mesyuarat Tindakan Daerah di mana JKNS telah bersetuju untuk memberikan tapak kepada klinik kesihatan di Pangi,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KNJG) dan Khidmat Masyarakat di SK Pangi, semalam.
Sementara itu, seorang pengendali Troli, Tabari Basili, 67, memberitahu dia menawarkan perkhidmatan ke Pekan Tenom dengan kadar upah tidak tetap kepada penduduk kampung sejak dua tahun lalu.
“Terpulang kepada orang kampung mahu bagi berapa, kadang-kadang ada yang bagi RM8 dan ada juga RM10 seikhlas hati,” ujarnya.
Meski jumlah pendapatan tidak besar, sekurang-kurangnya dia boleh menyara keperluan ahli keluarga dengan upah mengendali Troli.
Troli merupakan inovasi pengangkutan melibatkan beberapa komponen termasuk sebuah motorsikal sebagai penggerak utama dan ia digabungkan dengan beberapa keping papan sebagai tempat duduk penumpang, sementara beberapa biji roda berada di bahagian bawah papan untuk membolehkannya bergerak di atas landasan keretapi. — JABATAN PENERANGAN SABAH