KOTA KINABALU: Seorang ahli politik dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah mencabul seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, empat tahun lalu.
Bekas penyelaras Parlimen Putatan Parti STAR Sabah, Phillip Among, 55, dijatuhi hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan empat bulan sekiranya denda gagal dibayar.
Kesalahan itu didakwa berlaku sekitar jam 11 malam pada 17 April 2021 di ruang tamu sebuah hotel kapsul di Asia City.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut menaikkan ikat jamin tambahan RM5,000, selain mengekalkan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat.
Sepanjang perbicaraan, 10 saksi pendakwaan dipanggil, manakala pihak pembelaan hanya memanggil seorang saksi.
Phillip juga masih menunggu keputusan bagi empat lagi pertuduhan cabul membabitkan seorang peserta Unduk Ngadau Kaamatan 2021.






