KUALA LUMPUR – Pakar kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata pelantikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai naib presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia (WHA) ke-75, akan memudahkan lagi suara Malaysia dibawa ke WHO peringkat dunia.
Ini termasuklah suara 37 negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lain di kawasan Pasifik Barat.
Jelas Dr Zainal yang juga pernah berkhidmat dengan WHO, pemilihan itu juga, merupakan satu lagi pencapaian Malaysia dan pengiktirafan negara serantau serta global, kepada perkhidmatan kesihatan negara amnya dan Khairy Jamaluddin khususnya.
“Semoga Malaysia terus memainkan peranan yang aktif dalam isu-isu kesihatan global,” katanya…
Menurut Dr Zainal, pemilihan Khairy Jamaluddin oleh WHA semalam adalah juga sebagai wakil kepada 37 negara rantau Pasifik Barat lain, dalam WHO.
Katanya, pencalonan dibuat oleh negara-negara Pasifik Barat WHO semasa mesyuarat di Himeji, Jepun pada Oktober 2021.
Beliau berkata, Malaysia pernah menjadi naib presiden WHA pada 2004 semasa Tan Sri Dr Chua Soi Lek merupakan Menteri Kesihatan, dan pada 2016 ketika jawatan itu disandang Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Khairy disahkan sebagai salah seorang daripada naib presiden perhimpunan itu semalam. Empat negara lain yang turut dipilih sebagai naib presiden WHA ialah Bulgaria, Indonesia, Togo dan Amerika Syarikat.
Menurut Dr Zainal, beliau pernah menyertai Dr Chua ketika mesyuarat WHO peringkat rantau Pasifik Barat berlangsung di New Zealand, serta bersama Dr Subramaniam ketika mesyuarat yang sama berlangsung di Guam sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang juga berada di Geneva dalam hantarannya di Facebook berkata, pemilihan itu merupakan satu penghormatan buat Malaysia.
“Terutamanya Kementerian Kesihatan dan kesemua petugas barisan hadapan, yang telah mengorbankan masa dan tenaga di sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.





