KOTA KINABALU, SABAH – Semua loji rawatan air di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya berfungsi seperti biasa kecuali Loji Rawatan Air Kasigui kata Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya.
Katanya ianya ekoran daripada kejadian bencana banjir yang bermula dari 30 Jun (Ahad) lalu.
Walau bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah berkata kerja-kerja penyelenggaraan air di Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui sedang giat dijalankan.
“Namun keadaan paras air sungai yang agak tinggi buat masa ini menjadi kekangan terhadap proses kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan akibat daripada bencana banjir ini.
“Bagi mengelakkan gangguan air berlaku dikawasan terjejas, pihak Jabatan Air Negeri Sabah bersama Jetama Sdn Bhd mengambil inisiatif untuk mengaktifkan muka sauk Madziang.
“Air mentah muka sauk tersebut akan dipam untuk rawatan di LRA Kasigui sebelum diagihkan kepada pengguna,” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Shahelmey berkata pihak Jabatan Air Negeri Sabah akan sentiasa memantau loji-loji rawatan air yang ada terutamanya di musim bencana banjir ini bagi memastikan air yang dikeluarkan adalah bersih dan selamat untuk digunakan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta peka terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu,” tambahnya.