TONGOD: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pelaksanaan Projek Pekan Baharu Penangah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadual memulakan fasa awal pembangunannya pada Januari tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, projek pembangunan bercampur itu turut merangkumi Belanjawan Negeri Sabah 2026 bernilai RM6.9 bilion yang dibentangkan pada persidangan DUN, 12 Disember lalu.
Beliau berkata, Pekan Baharu Penangah dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, selari dengan pembinaan kilang simen berhampiran yang dijangka mula beroperasi pada penghujung 2026.
“Lokasi Pekan Baharu Penangah yang strategik, berdekatan dengan pembangunan kilang simen, diyakini mampu merangsang aktiviti ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Masiung berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Krismas Zon Penangah, di sini, semalam.
Menurut beliau, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja awal pembangunan projek berkenaan yang melibatkan pengukuran tapak seluas 200 ekar, pembinaan jalan masuk, kerja tanah serta sistem perparitan.
Katanya, pembangunan Pekan Baharu Penangah akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi kerjasama strategik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dalam pada itu, Masiung berkata, pembangunan pekan baharu berkenaan yang terletak berhampiran kilang simen di Kampung Kawayoi, dijangka menawarkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan sekali gus membuka lembaran baharu kepada daerah Tongod yang disenaraikan antara 10 daerah termiskin di Malaysia.
Beliau turut memaklumkan bahawa di bawah RMK-13, projek Pekan Baharu Tongod kini sedang dalam pembinaan, manakala projek Kompleks Sukan Tongod yang sebelum ini terhenti akan diteruskan semula.
Sementara itu, Sambutan Krismas Zon Penangah yang berlangsung penuh warna-warni itu berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung dengan pelbagai acara termasuk pertunjukan bunga api serta persembahan nyanyian oleh artis tempatan antaranya Datuk Francis Landong, George Lian dan Asimjn Pugug.
Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Penguasa Paroki St. John Penangah, Paderi Andreas Barnabas, Penguasa Gereja Tampasak dan Imbak, Pedari Masri Raimiee serta Paderi Habis Olui.






