LAHAD DATU, SABAH – Pertubuhan Hal Ehwal Dan Pelindungan Pengguna (CAPS) Sabah berharap pihak kementerian mengambil tindakan tegas terhadap peniaga atau mana-mana individu yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga siling yang ditetapkan.
Timbalan Pengerusi CAPS Sabah, Datuk A. Nagaraju berkata setiap isi keluarga memerlukan kit ujian kendiri ini dan usaha kerajaan bagi memasarkannya pada harga yang berpatutan mencerminkan keprihatinan terhadap rakyat.
“Secara jujurnya kita akan hidup bersama pandemik ini untuk beberapa tahun lagi. COVID-19 telah pun berada dalam masyarakat dan kita kena belajar hidup bersamanya. Negara tidak mampu menutup semua sektor buat selamanya…
“Kit ujian kendiri ini produk yang sangat penting dan menjimatkan. Kita dapat mengetahui keputusan dengan masa kurang lebih 10 hingga ke 15 minit sahaja dan menghasilkan ketepatan 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan itu, beliau juga berharap semua farmasi, klinik dan peruncit mematuhi harga RM 19.90 individu seunit dan RM 16.00 borong seunit yang telah ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkuat kuasa esok, Ahad (5 September).

Nagaraju juga menggesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan program kepada masyarakat setempat bagi meningkatkan kesedaran tentang cara penggunaan dan kepentingan kit ujian kendiri COVID-19 pada masa ini.
“Wakil-wakil masyarakat seperti Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat seharusnya mengambil peranan untuk menerima pendedahan awal mengenai isu ini supaya dapat disebarkan kepada masyarakat…
“CAPS Sabah mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas pengurangan harga tersebut yang pada asalnya dijual pada harga RM 39.90.
“Adalah lebih baik kalau harga itu boleh dikurangkan lagi kerana dalam rumah tangga besar, sekeluarga harus membeli lebih banyak kit untuk memastikan jika benar perlu kuarantin kendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kekal bersama KPDNHEP dalam penetapan harga maksimum itu meskipun digesa Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bagi melanjutkannya sehingga stok sedia ada dijual dengan harga lama.
Sinar Harian melaporkan Khairy sebagai berkata bahawa rakyat akan terkesan kerana terpaksa membeli kit ujian kendiri pada harga yang tinggi.
“Saya faham ada pihak yang tidak berpuas hati tetapi kami memihak kepada pengguna dan keputusan telah dibuat…
“Kalau nak bagi tempoh masa sebulan untuk ‘clear’ stok, yang terkesan adalah rakyat. Mereka terpaksa bayar RM40,” katanya.