KOTA MARUDU: Kompleks Sukan Tandek kini berada pada tahap siap sebanyak 99 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Mei ini, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, jaminan itu diperoleh hasil taklimat yang diberikan oleh pegawai dan pihak berkaitan semasa lawatan kerja beliau ke kompleks sukan dan arena belia Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran pada Selasa, selepas sebelum ini timbul isu kelewatan projek berkenaan.
“Saya telah turun sendiri ke Kompleks Sukan Tandek dan dimaklumkan bahawa pembinaan kini sudah mencapai 99 peratus. InsyaAllah, saya diberi jaminan ia akan siap sepenuhnya pada akhir bulan Mei,” katanya ketika ditemui media.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada jelajah beliau ke fasiliti dan aset kementerian di beberapa daerah termasuk Kota Belud dan Tuaran, selain lokasi yang telah dilawati sebelum ini seperti Kota Kinabalu, Penampang, Tongod, Sandakan dan Tawau.
Menurutnya, daripada keseluruhan 17 kompleks sukan di Sabah, lawatan ke tiga daerah tersebut merupakan tambahan dalam usaha mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai status dan keperluan fasiliti sukan di negeri ini.
Di Kota Belud, beliau mengenal pasti beberapa kemudahan yang perlu ditambah baik termasuk dewan tertutup dan gelanggang badminton, selain meninjau projek gelanggang berbumbung “2 dalam 1” yang kini hampir siap dan dijangka siap pada Jun ini.
Sementara itu di Tuaran, pembinaan astaka di Kompleks Sukan Tuaran kini mencapai kemajuan sebanyak 30 peratus dan dijadualkan siap pada September mengikut tempoh kontrak.
Mengulas lanjut, Nizam menegaskan bahawa tanggungjawab utama kementeriannya adalah memastikan semua kemudahan sukan berada dalam keadaan baik dan selesa untuk digunakan bukan sahaja oleh atlet dan rakyat tempatan, malah pelancong luar.
“Kompleks sukan ini mencerminkan imej kementerian. Jadi dengan turun padang, saya dapat melihat sendiri keperluan sebenar dan memperoleh maklumat secara langsung untuk kita tambah baik fasiliti sedia ada,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang keperluan peruntukan tambahan akan dikaji sebelum dikemukakan kepada Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan untuk pertimbangan lanjut.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pemimpin tempatan termasuk ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; ADUN Tempasuk, Datuk Arsad Bistari; ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan serta Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau atas kerjasama dalam menjayakan pembangunan fasiliti sukan di kawasan masing-masing.






