Respon Tidak Konsisten Dari Bomba Menimbulkan Pelbagai Pertanyaan – SAPP

Respon Tidak Konsisten Dari Bomba Menimbulkan Pelbagai Pertanyaan – SAPP

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Progresif Sabah (SAPP) mendapati respon yang tidak konsisten dari pihak berkuasa, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menimbulkan seribu pertanyaan yang harus ditangani segera.

Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul berkata pihak JBPM mesti tampil bersih dan mengakui sekiranya terdapat kelemahan dalam sistem MERS 999 secara keseluruhan.

“Orang ramai berhak mengetahui kebenaran peristiwa yang berlaku pada pagi itu dan mengapa bomba gagal menyatakan bahawa terdapatnya banyak panggilan terus ke Balai Bomba Penampang dan Sembulan lebih-lebih lagi bila Balai Bomba Penampang terletak hanya lebih kurang satu kilometer dari lokasi kebakaran?,” tanya beliau.

Pengarah JBPM Sabah, Mohd Ali Ismail dalam satu kenyataan berkata setelah menjalankan siasatan penuh, didapati pasukan Bomba dihantar dari Balai Bomba Penampang hanya tiga minit selepas menerima panggilan, tetapi lewat tiba ke lokasi dengan alasan pemanggil memberikan alamat yang salah.

Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul…

“Surat khabar tempatan semalam melaporkan si pemanggil mempertikaikan waktu yang dinyatakan dan sama ada pasukan yang dihantar benar-benar tahu lokasi kawasan insiden,” katanya.

Beliau berkata timbul perasaan kurang menyenangkan apabila akhbar tempatan melapor bahawa maklumat awal disembunyikan dari orang ramai dengan alasan waktu ketibaan pasukan bomba di lokasi kebakaran adalah “rahsia”.

“Apa yang begitu rahsia sehingga JBPM enggan memberikan maklumat seperti itu secara sukarela?” tanya Edward.

Laporan dan pertanyaan yang dipertikaikan ini perlu dijawab oleh pihak JBPM untuk memupuk kepercayaan masyarakat terhadap sistem (MERS 999) tersebut.

Edward menyimpulkan bahawa, untuk mengelakkan kemalangan yang meragut empat nyawa dalam insiden 7 September lalu, Prosedur Operasi Standard (SOP) panggilan MERS 999 harus dikaji semula.

“Dan ia harus dimulakan dengan siasatan penuh dengan mencari fakta mengenai kes tersebut,” tegasnya.