KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengemukakan tiga cadangan kepada Kerajaan Persekutuan agar hak dan autonomi Sabah terus dihormati sebagai rakan pengasas Malaysia.
Berucap ketika membahaskan Rang Undang-Undang Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975 (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat pada Rabu, beliau menyatakan sokongan pindaan tersebut, namun dalam masa yang sama mahu semangat Perjanjian Malaysia 1963 tidak diketepikan.
“Di sebalik kerangka yang kelihatan teknikal ini, tersirat satu persoalan besar tentang kuasa, tentang hak dan tentang masa depan negeri kami (Sabah).
“Adakah pindaan ini benar-benar menghormati bidang kuasa negeri dan adakah Sabah telah dirunding secara bermakna sebelum keputusan dibuat. Ataupun Sabah hanya dimaklumkan selepas keputusan dibuat?,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan tiga cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak-hak Sabah dihormati dalam Malaysia hari ini.
“Pertama, diwujudkan peruntukan jelas bahawa apa-apa pelaksanaan kuasa di Sabah hendaklah melalui perundingan rasmi dengan Kerajaan Negeri.
“Kedua, ditubuhkan jawatankuasa bersama Persekutuan – Negeri bagi penguatkuasaan di Sabah supaya semangat perkongsian benar-benar dizahirkan.
“Ketiga, dimasukkan klausa yang secara nyata menyatakan pindaan tersebut tidak menjejaskan kuasa negeri dalam hal tanah, perhutanan dan sumber asli sebagaimana dijamin dalam MA63,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli.
Madius berkata, Sabah bersetuju membentuk Malaysia bersama Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1963 bukan sebagai negeri bawahan, tetapi sebagai rakan pengasas yang dijamin autonomi dalam hal tanah, kerajaan tempatan, perhutanan dan sumber asli.
Beliau turut mengingatkan agar atas nama standard kebangsaan, kuasa yang telah dijamin sejak pembentukan Malaysia tidak terhakis sedikit demi sedikit.
“Malaysia hanya akan benar-benar kukuh apabila setiap rakan dalam Persekutuan merasa dihormati, didengar dan dilibatkan.
“Sabah bukan sekadar negeri pengeluar sumber. Sabah adalah rakan pengasas Malaysia dan rakan pengasas tidak seharusnya merasa terpinggir di tanah sendiri,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Sabah perlu bersedia meminda Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 bagi memastikan keselarasan dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975, khususnya berkaitan standard dan keupayaan pelaksanaan.






