Kerusi Tanjung Keramat Milik UMNO Sebenar – Jeffery Nor

Kerusi Tanjung Keramat Milik UMNO Sebenar – Jeffery Nor

0
SHARE

PUTATAN: Calon BN-UMNO bagi DUN Tanjung Keramat, Jeffery Nor, menyatakan keyakinan bahawa kerusi itu akan ke ke pangkuan UMNO ‘sebenar’ pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata pengundi mengetahui bahawa penyandang, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, walaupun menang atas tiket Barisan Nasional, tidak membawa aspirasi parti.

“Ada yang masih keliru tentang kedudukannya. Cara dan tindakannya tidak mencerminkan kami. Dia bukan lagi bersama kami,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis ceramah di Kampung Pasir Putih, malam Jumaat.

Shahelmey sebelum ini berpihak kepada GRS ketika Barisan Nasional cuba menjatuhkan kerajaan bersama Warisan pada 2023. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kerja Raya Sabah.

Jeffery berkata Barisan Nasional akan terus bergerak untuk menghapuskan amalan kronisme dan nepotisme yang dakwanya telah lama berakar di Putatan.

Beliau memaklumkan kempen berjalan lancar dengan penerimaan positif pengundi dalam fasa kedua daripada tiga fasa kempen iaitu pelancaran program Get Out The Voters (raih pengundi).

Dalam ucapannya sebelum itu, Jeffery menzahirkan rasa kesal kerana banyak isu dan cadangan, termasuk masalah air, tidak pernah didengari kerajaan.

“Tetapi apabila ia dibangkitkan kepada media, barulah mereka kelam kabut cuba baiki.

“Tanjung Keramat mempunyai kelengkapan Pihak Berkuasa Tempatan yang diperlukan dan tiba masanya kerajaan yang cekap untuk membawa perubahan positif,” katanya.