Junz Wong Dakwa Calon Warisan Ditekan SPR, Standard Tidak Konsisten

Junz Wong Dakwa Calon Warisan Ditekan SPR, Standard Tidak Konsisten

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Warisan, Datuk Junz Wong, mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menurutnya terlalu ketat terhadap calon Warisan sepanjang kempen.

Beliau mendakwa pengawasan rapi termasuk oleh pegawai SPR yang mengikuti ceramah dengan kamera, mengeluarkan amaran lisan, dan campur tangan walaupun permit polis telah diluluskan.

“Kami diberitahu calon Likas tidak boleh berucap di Luyang. Di mana tertulisnya? Sedangkan calon lain bebas bergerak ke seluruh Sabah,” kata Junz pada sidang media menjelang Ceramah Mega Warisan Zon 2 di KDCA pada 23 November.

Junz juga menegur bendera Barisan Nasional yang dipasang di Sembulan walaupun UMNO tidak bertanding di kawasan itu, menekankan keperluan standard yang sama untuk semua pihak.

“Satu undang-undang harus diguna pakai untuk semua, bukan hanya untuk kami,” tegas beliau.

Beliau turut menyentuh isu larangan makanan dan minuman selepas ceramah, yang menurutnya menyebabkan kekeliruan penduduk.

“Dulu biasa ada jamuan komuniti selepas program. Sekarang dilarang. Orang sangka calon sombong kerana tidak makan bersama, padahal kami cuma ikut peraturan baru,” jelas Junz.

Warisan mengumumkan Ceramah Mega Zon 2 pada 23 November di KDCA dengan sasaran 10,000 peserta.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dijangka melancarkan manifesto baru parti pada malam sama.