10 Jenis Barang Termasuk Dalam Skim Harga Maksimum Sempena Kaamatan, 11 Barang...

10 Jenis Barang Termasuk Dalam Skim Harga Maksimum Sempena Kaamatan, 11 Barang Sempena Gawai – Menteri KPDN

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025 bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan sepanjang musim perayaan.

Skim ini akan bermula pada 27 Mei hingga 2 Jun bagi Pesta Kaamatan, dan dari 29 Mei hingga 4 Jun bagi Hari Gawai, melibatkan tempoh pelaksanaan selama 7 hari setiap satu, iaitu hari kemuncak serta tiga hari sebelum dan selepas perayaan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah ini bertujuan melindungi kepentingan pengguna agar dapat memperoleh barangan keperluan pada harga berpatutan, di samping menjaga kesejahteraan peniaga dengan tempoh pelaksanaan yang munasabah.

“Bagi SHMMP Pesta Kaamatan, sebanyak 10 jenis barangan dikawal harga, termasuk dua barangan baharu iaitu bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.

“Manakala 8 lagi jenis barangan dikawal harga yang kekal termasuk daging babi (daging dan lemak); daging babi (perut); daging kerbau import (India) – tidak termasuk bahagian batang pinang; kepak ayam; cili kering keriting;bawang merah kecil (India); dan bawang putih (China).

“Sementara itu, SHMMP Hari Gawai menyenaraikan 11 jenis barangan, dengan penambahan kelapa biji, kelapa parut, dan santan berbanding lapan barangan pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025 di Dewan Pisompuruan, Kg Kobuni, Inanam di sini, hari ini.

Harga maksimum ditentukan hasil perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri, dan akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Pegawai penguat kuasa KPDN akan memantau pematuhan di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah. Label harga merah jambu wajib digunakan untuk barangan terkawal.

Peniaga yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara, manakala syarikat boleh didenda hingga RM500,000.

KPDN turut menjalankan inisiatif tambahan seperti Program Jualan Rahmah MADANI dan Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) sebagai sebahagian daripada ikhtiar menangani kos sara hidup rakyat.