PDRM Akan Saman Kereta Parking di Flyover Aeropod, Ganggu Lalu Lintas dan...

PDRM Akan Saman Kereta Parking di Flyover Aeropod, Ganggu Lalu Lintas dan Bahaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang meletakkan kenderaan secara haram di kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Aeropod dan Tanjung Aru, khususnya mereka yang berkumpul untuk aktiviti santai atau melihat matahari terbenam serta ketibaan kapal terbang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, tindakan tersebut diambil berikutan aduan dan pemerhatian pihak polis terhadap kesesakan lalu lintas dan gangguan keselamatan akibat kenderaan yang diletakkan secara sembarangan, terutamanya di kawasan flyover lapangan terbang.

“Berada di kawasan flyover untuk berehat, menonton kapal terbang mendarat, atau melakukan aktiviti ‘healing’ adalah satu kesalahan lalu lintas. Ia menyebabkan kesesakan dan gangguan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya baru-baru ini.

Menurut ACP Kasim, pihak polis sebelum ini hanya mengeluarkan amaran dan melakukan pengusiran secara berhemah. Namun, selepas tempoh pemantauan ini tamat, tindakan saman akan dikenakan terhadap individu yang masih melanggar peraturan tersebut.

“Kita tidak akan beri amaran lagi. Selepas ini, mereka yang meletakkan kenderaan secara haram akan terus disaman,” tegas beliau.

Polis turut memberi amaran kepada orang ramai yang berkunjung ke Tanjung Aru, salah satu lokasi popular untuk menyaksikan matahari terbenam, agar tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan atau kawasan bulatan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan dan kesalahan trafik.

“Kita nasihatkan pengunjung supaya gunakan tempat parkir yang disediakan oleh pihak DBKK atau pengurusan pantai. Elakkan parkir sembarangan yang boleh mendatangkan bahaya dan kesesakan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa anggota trafik akan ditempatkan di kawasan terlibat, terutamanya pada hari minggu dan cuti umum bagi mengawal keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

PDRM menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselesaan dan keselamatan bersama.