KOTA KINABALU: Industri koko Sabah mencatat lonjakan ketara pada suku pertama 2025 susulan harga global yang meningkat hampir RM30,000 untuk satu tan.
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr Ramle Kasin berkata lonjakan harga itu menghidupkan semula minat penanaman koko di Sabah termasuk dalam kalangan pekebun kecil dan ladang besar.
Sabah kini menyumbang 57 peratus daripada jumlah penanaman koko negara, dengan nilai eksport koko Malaysia mencecah RM8.87 bilion setakat Ogos 2024.
Sabah turut menjadi tuan rumah Malaysia International Cocoa Festival (MICF) 2025 dari 24 hingga 28 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Festival ini menampilkan persidangan, pameran dengan lebih 160 gerai dengan 20 peratus daripadanya peserta antarabangsa.
“Lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir dengan pelbagai tarikan termasuk cabutan bertuah berhadiah Perodua Axia, motosikal dan ATV.
“Selain coklat, MICF mempamerkan mesin pembuatan coklat terkini, kosmetik berasaskan koko, serta demonstrasi dan pertandingan pembuatan coklat,” kata Ramle.
Pengerusi LKM merangkap Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata koko bukan sekadar coklat.
“Ia berpotensi dalam sektor makanan, kecantikan dan kesihatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memberi bantuan penanaman semula dan pemulihan tanaman koko bagi memastikan Sabah terus unggul dalam industri ini.






