SOOK: Lima individu cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan jenis Ford Ranger dan Isuzu D-Max di Jalan Sook Batu 14, berhampiran Kampung Baranon, petang kelmarin.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 5.10 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Azwan Hamirin berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 5.35 petang, kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Mangsa terdiri daripada lima orang, tiga lelaki berusia 25 tahun yang menaiki Ford Ranger dan dua individu menaiki Isuzu D-Max, iaitu seorang lelaki berusia 60 tahun dan wanita 55 tahun,” katanya.
Tambah beliau, dua daripada mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah kaki dan tangan, manakala tiga lagi hanya mengalami kecederaan ringan.
Pasukan bomba menjalankan rawatan awal sebelum menyerahkan mangsa kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut. Kerja-kerja pembersihan turut dilakukan bagi memastikan lokasi selamat.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.36 petang selepas tiada lagi risiko di kawasan kejadian.
Turut terlibat dalam operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan perubatan KKM.






