KENINGAU, SABAH – Semua pihak haruslah bersama-sama menyemarakkan Bulan Kebangsaan demi menaikkan lagi semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub berkata semua pihak perlu bersama-sama menyemarakkan lagi semangat cintakan negara terutamanya di Bulan Kebangsaan.
“Hari Kebangsaan kita raikan setiap tahun, tapi mungkin ramai yang tidak tahu apa makna di sebalik itu dan nanti generasi muda kita tidak tahu akan nilai sebuah kemerdekaan.
“Jika kita lihat sekarang kita hidup dalam keadaan yang senang menyebabkan kita tidak akan faham apa erti kemerdekaan, jadi saya menyeru semua pihak untuk membantu dalam menyemarakkan lagi hari yang penting ini.
“Ini bukan sahaja tanggungjawab pihak kerajaan tetapi juga tanggungjawab semua pihak,” katanya ketika merasmikan program Jiwa Komuniti Madani@ Merdeka Mukim Lingkudau serta Kembara Merdeka Jalur Gemilang KMJG 2024 Daerah Keningau di Dewan Serbaguna Kampung Banjar.
Beliau yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd. berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) banyak merancang program untuk membantu menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan dan berharap masyarakat khususnya golongan belia lebih menghayati erti kemerdekaan dan bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.
Konvoi KMJG yang diketuai Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor tiba di Keningau selepas bermalam di Tenom pada hari kelima konvoi. — JABATAN PENERANGAN SABAH