KENINGAU, SABAH – Malaysia Madani, Jiwa Merdeka adalah tema yang mengangkat kebebasan rakyat dan melambangkan semangat kebebasan hasil pengorbanan pejuang kemerdekaan.
Pengerusi Felcra Niaga Sdn. Bhd, Datuk Dr Sangkar Rasam berkata tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tersebut amat bertepatan dengan semangat yang ingin disemarakkan dalam kalangan rakyat.
“Ini kerana jiwa merdeka melambangkan semangat kebebasan dan kemandirian yang telah diperjuangkan oleh para pejuang kemerdekaan dan terus kita warisi.
“Bebas yang dimaksudkan merangkumi pemikiran, budaya dan ekonomi,” katanya ketika berucap dalam program Makan Malam: Penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada ketua Komuniti Daerah Keningau, pada malam Selasa.
Turut diadakan pada program yang diadakan sempena konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) tersebut ialah penyampaian watikah kepada Komuniti Madani (KM) Kampung Pasir Putih DUN Bingkor dan KM Pekan Keningau yang terletak dalam DUN Liawan.
Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah (PPS), Jainisah Mohd Noor, Timbalannya, Supian Musa, Pegawai Penerangan Daerah Keningau, Awang Mamun Awang Saman, Ketua Komuniti Kampung Pasir Putih Hanapi Epin, dan Ketua Komuniti Pekan Keningau, Cecelia Yuran. — JABATAN PENERANGAN SABAH