Kegiatan ‘Curi Karan’ Punca SESB Rugi RM200 Juta Setahun

Kegiatan ‘Curi Karan’ Punca SESB Rugi RM200 Juta Setahun

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kegiatan ‘curi karan’ atau mencuri bekalan elektrik dalam kalangan penduduk tempatan Sabah menyebabkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dianggar mengalami kerugian hingga RM200 juta setahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, SESB berdepan kehilangan elektrik sebanyak 17 peratus dalam grid bekalan elektriknya dan daripada jumlah itu 10 peratus adalah kehilangan secara teknikal manakala tujuh peratus kehilangan bukan teknikal atau akibat kecurian.

Katanya, daripada anggaran sudut kewangan, satu peratus kehilangan elektrik itu menyebabkan SESB rugi RM30 juta setahun, manakala kehilangan bukan teknikal atau kecurian menyebabkan SESB rugi RM210 juta setahun. 

“Jumlah ini (RM210 juta setahun) merupakan 25 peratus daripada kerugian keseluruhan dihadapi SESB. Jumlah itu juga cukup untuk membantu mengurangkan kebergantungan SESB kepada subsidi kerajaan yang ketika ini sekitar RM850 juta setahun.

“Ini juga bererti bahawa jika sekiranya kita dapat membanteras kecurian ini, kelestarian kewangan SESB akan jauh lebih baik. SESB adalah mangsa jenayah curi karan, oleh sebab itulah SESB sangat serius membanteras kegiatan mencuri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kunjungan hormatnya terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, semalam.

Mengulas mengenai kunjungan, Madius berkata, pihak SESB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertukar pandangan dan bersetuju untuk menjalin kerjasama lebih kukuh dalam usaha membanteras jenayah kecurian elektrik di negeri ini.

“Saya yakin dan percaya melalui pertemuan ini, ia akan meningkatkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara SESB dan PDRM pada masa akan datang. Sama-sama kita perangi jenayah dan kegiatan mencuri elektrik ini,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, kerjasama itu penting kerana SESB hanya merupaka sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tidak mempunyai kuasa berdasarkan undang-undang untuk menahan mereka yang terlibat dalam kes kecurian elektrik ini.