Polis Kenal Pasti Pemilik Tiga Akaun Media Sosial Ugut Bunuh Nik Elin

Polis Kenal Pasti Pemilik Tiga Akaun Media Sosial Ugut Bunuh Nik Elin

0
SHARE
Allaudeen, Ketua Polis Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti individu memiliki tiga akaun media sosial yang disyaki membuat ugutan bunuh ke atas peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar perunutukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tiga kertas siasatan dibuka di mana satu daripadanya dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Tahun lalu, Nik Elin buat tiga laporan kemudian kita buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah selesai serta sudah dirujuk kepada TPR beberapa minggu lalu.

“TPR memberi arahan tertentu tetapi belum lagi ada pendakwaan dan tiada tangkapan setakat ini.

“Dua lagi (kertas siasatan) masih disiasat dan kita akan lengkapkannya dalam masa terdekat dan serahkan kepada TPR,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Nik Elin menyatakan beliau menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya yang mencabar peruntukan enakmen tersebut.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 pada 9 Februari lalu memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah enakmen itu batal dan tidak sah.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.