
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai tiga orang pesakit mata telah pulih penglihatan selepas menerima sumbangan kornea yang didermakan seorang mualaf yang meninggal dunia akibat masalah perubatan, di sini, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata penderma tersebut Allahyarham Finno Joitol, 54, yang disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan merupakan penderma organ ketiga di Sabah tahun ini.
Mengulas lanjut, Dr Rose Nani berkata prosedur derma mata untuk pesakit telah dilaksanakan setelah mendapat persetujuan daripada keluarga penderma.
“Setelah keluarga dimaklumkan mengenai pilihan untuk menderma organ, pihak keluarga berbincang dan bersetuju mendermakan mata (kornea). Prosedur pendermaan disempurnakan di HQE.
“Kornea yang didermakan berjaya ditransplan dan memulihkan penglihatan tiga orang pesakit iaitu kornea kanan kepada seorang penerima dan kornea kiri dibahagikan kepada dua orang penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Disamping itu, beliau juga berkata keluarga arwah turut berbesar hati supaya kisah pendermaan itu boleh menjadi dorongan kepada orang ramai khususnya masyarakat di Sabah untuk tampil menjadi penderma organ.
Sementara itu, Dr Rose Nani dalam kenyataan terbabit turut mengulas berhubung isu pendermaan organ dalam kalangan orang Islam berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Sabah dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin memaklumkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil 2/2009 yang bersidang pada 9 Disember 2009 Miladiah / 22 Zulhijjah 1430 Hijriah, di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah bagi membincangkan mengenai ‘Derma Organ Menurut Perspektif Islam’ telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam.
“Selain itu, menurut Bayan Linnas Siri Ke-176: Pembaharuan Pandangan Hukum Berkenaan Pendermaan Organ Dan Tisu yang diwartakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 16 April 2019 telah memperluaskan pendermaan organ-organ seperti buah pinggang, jantung, hati, paru-paru dan pankreas serta tisu-tisu seperti mata, tulang, kulit dan injap jantung.
“Pendermaan organ dan tisu itu adalah harus dan amat digalakkan selaras dengan perkembangan semasa dan penemuan perubatan masa kini. Pembaharuan ini juga dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia,” katanya.
Dr Rose Nani turut mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih di atas kemuliaan penderma dan seluruh ahli keluarga kerana memberikan anugerah kehidupan kepada pesakit yang memerlukan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.
“JKNS turut menyeru orang ramai menjadikan kemuliaan penderma organ dan keluarga mereka sebagai teladan selain pendaftaran sebagai pengikrar penderma organ boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.