PROGRAM SABAH BERSELAWAT DAPAT TINGKATKAN KEFAHAMAN MENGENAI ISLAM: KM HAJIJI

PROGRAM SABAH BERSELAWAT DAPAT TINGKATKAN KEFAHAMAN MENGENAI ISLAM: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berpeluang beramah mesra bersama Imam Masjid Abbad, Mekah, Sheikh Al-Hafiz Mohammad Sharif Mohammad Imrani pada Majlis Sabah Berselawat sempena Sambutan Hari RTM ke-77 di Sabah International Convention Center (SICC) ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran Program Sabah Berselawat 2023 dapat meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai Islam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata majlis ilmu ini juga sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang
berniat untuk mentamadunkan masyarakat dengan usaha perpaduan dan bersatu untuk
memanfaatkan insaniah, ekonomi serta sosial.

“Justeru, umat Islam seharusnya memanfaatkan penganjuran majlis agama seperti berselawat ini. Saya mahu agar lebih banyak majlis selawat dapat diadakan di negeri ini bagi meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai agama Islam.

“Program Sabah Berselawat ini juga dapat menyuntik semangat dan memberi
kekuatan kepada kita sebagai umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian.

“Semoga penganjuran majlis Sabah Berselawat 2023 ini akan menjadi satu acara
tahunan yang diadakan oleh SABAHfm khususnya semasa bulan Ramadan bagi
mengimarahkan lagi majlis ilmu seperti ini dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketikamerasmikan Program Sabah Berselawat sempena Sambutan Hari RTM ke-77 di Sabah
International Convention Centre (SICC), di sini, semalam.

Program Sabah Berselawat 2023 ini julung kali dianjurkan oleh RTM Sabah menerusi
radio SABAHfm, sempena Sambutan Hari RTM Ke-77.

Dalam pada itu, beliau berharap RTM akan terus membantu menyampaikan maklumat
dan agenda kerajaan kepada rakyat, termasuklah insiatif pembangunan iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Inilah pentingnya peranan media terutama RTM dalam menyampaikan agenda
pembangunan kerajaan ke seluruh pelusuk negeri ini, agar rakyat tahu apa yang
kerajaan sedang dan akan laksanakan.

“Saya berharap RTM sama ada menerusi siaran radio atau televisyen terus memberi
maklumat yang terkandung dalam Halatuju SMJ apa yang telah dan sedang dilaksanakan.

“Kita mahu semua rakyat tahu apa maklumat yang terkandung dalam Halatuju SMJ ini.

“Agenda Sabah Maju Jaya kini berada di landasan yang tepat untuk membawa
pembangunan kepada rakyat dan negeri sejak dilancarkan pada Mac 2021. Kita telah menerima banyak pelaburan asing dan juga domestik, sejak dua tahun lalu,” katanya.

Hajiji dalam pada itu turut berkata,
kerajaan tidak pernah berhenti untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat dan negeri ini.

“Pada minggu ini saja, saya telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Linaco dan Sawit Kinabalu bagi pembinaan sebuah Kilang Pemprosesan Kelapa Bersepadu bernilai RM200 juta di Langkon, Kota Marudu.

“Selain itu, Sabah juga telah merealisasikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan
penyertaan di dalam PSC Samarang dengan termeterai perjanjian dengan PETRONAS
Carigali Sdn Bhd (PCSB), pada Jumaat.

“Ini antara usaha kita yang berterusan untuk memastikan lebih banyak pembangunan
di bawa ke negeri ini,” katanya.