KSTI Sasar Liputan Internet Mencapai Lebih 90 Peratus Penghujung Tahun 2024

KSTI Sasar Liputan Internet Mencapai Lebih 90 Peratus Penghujung Tahun 2024

0
SHARE
Arifin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap ADUN Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif bergambar bersama penerima sumbangan Program Cahaya Ramadan anjuran Yayasan Telekom (TM) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Kerajaan negeri mensasarkan liputan internet di seluruh Sabah agar mencapai lebih 90 peratus menjelang pada penghujung tahun 2024.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) amat komited dalam memastikan jaringan komunikasi dapat dipertingkatkan.

“Saya bertemu dengan Fahmi Fadzil (Menteri KKD) dan banyak perkara saya bincangkan dengan beliau. Saya juga ada mengadakan pertemuan dengan beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Beliau sangat komited untuk membantu. Selepas pertemuan itu, beliau sudah mengarahkan agensi-agensi berkenaan untuk mengambil tindakan susulan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau khususnya dalam memastikan Sabah mendapat liputan menyeluruh menjelang tahun 2024.

“Mudah-mudahan di penghujung tahun 2024, sebahagian besar negeri Sabah mendapat liputan. Inilah yang menjadi komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat nikmat digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Cahaya Ramadan anjuran Yayasan Telekom Malaysia (TM) bertempat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, di sini, semalam.

Turut hadir, pengurus Besar TM Sabah, Datuk Sainal Mohd Amin.

Dalam pada itu, Arifin turut memberitahu beliau juga meminta agar menambah lagi prasarana Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri ini.

Beliau menyatakan harapannya agar liputan internet di Sabah sekurang-kurangnya mencapai 90 peratus ke atas dimana setakat ini, capaian internet mencapai 80 peratus ke atas.