UMNO Sabah Sedia Majukan Calon Bagi PRK Bugaya – Bung

UMNO Sabah Sedia Majukan Calon Bagi PRK Bugaya – Bung

0
SHARE
Bung ketika berucap di majlis perjumpaan dengan kepimpinan UMNO bahagian Semporna...

SEMPORNA, SABAH – UMNO Sabah sedia mempertimbangkan untuk meletakkan calonya sekiranya Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, pertimbangan itu akan mengambil kira beberapa aspek terutamanya dari sudut sokongan rakyat di kawasan tersebut.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon untuk bertanding di kawasan ini…

“Sebaliknya ia diwakili oleh calon dari BERSATU, Haji Daud Tampokon yang bagaimanapun tewas di tangan parti Warisan ketika itu diwakili oleh Manis Muka Mohd Darah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan UMNO bahagian Semporna di pejabat UMNO bahagian itu baru-baru ini.

Bung disambut Ketua UMNO bahagian Semporna Abdul Manan Indanan pada perjumpaan dengan kepimpinan UMNO bahagian Semporna di pejabat UMNO…
Antara ahli ahli UMNO bahagian Semporna yang hadir ke perjumpaan tersebut…

PRK DUN Bugaya distiarkan kosong setelah Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 17 November 2020.

Tidak lama kemudian negara diisytiharkan darurat ekoran penularan pandemik COVID-19 dan sehingga kini kerusi berkenaan kekal kosong.

Menurut Bung, kemungkinan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) akan mengadakan PRK DUN Bugaya dalam tempoh terdekat.

“Ini disebabkan perkembangan pandemik COVID-19 yang semakin menurun di negara ini…

“Barisan Nasional bersedia menghadapinya (PRK) termasuklah mempertimbangkan untuk meletakkan calon sekiranya ia berlaku,” jelas Bung.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah berkata kekalahan calon BN, Datuk Abdul Razak Tun Sakaran yang bertanding dalam PRU ke-14 bukanlah satu ukuran dan ianya tidak akan melemahkan semangat untuk meletakan calon.

“Kita faham pengaruh Datuk Shafie Apdal sebagai Presiden Warian ketika itu masih kuat. Bagaimanapun dalam situasi sekarang, penerimaan semula rakyat kepada BN semakin meningkat…

“Ini dibuktikan dalam beberapa siri PRK dan yang terkini adalah dengan kemenangan bergaya BN semasa PRN Melaka baru-baru ini,” tambahnya.

Kata Bung, bagi kawasan Bugaya sahaja, UMNO mempunyai sebanyak 180 cawangan dan beliau yakin parti tersebut boleh merampas kawasan itu dengan sokongan padu daripada ahli-ahli.

“Apa yang penting kepimpinan UMNO bahagian ini perlu berkerja keras mendekati akar umbi dan semua struktur UMNO bahagian,” beliau berkata.

Pada PRN Sabah lepas, Manis Muka Mohd Darah berjaya mempertahankan kerusi N.66 dengan majoriti 6,005 undi mengatasi enam pencabarnya.