Projek Patung Mazu Kudat Mampu Tingkat Ekonomi – Bung

Projek Patung Mazu Kudat Mampu Tingkat Ekonomi – Bung

0
SHARE
Bung Moktar
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar...

KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berharap kerajaan negeri dapat memberikan pertimbangan kelulusan untuk pembinaan projek Patung Mazu (Dewi Laut) di Kudat.

Katanya, projek itu mampu menyumbang kepada ekonomi negeri dalam sektor pelancongan.

“Rakyat setempat juga akan mendapat manafaat dari segi ekonomi melalui aktiviti perniagaan.

“Sudah tentu ada pro dan kontranya, bagaimanapun kita perlu melihat dari prespektif yang luas, terutamanya dari segi pulangan ekonomi melalui sektor pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, cadangan pembinaan Patung Mazu tersebut mendapat tentangan dari beberapa NGO antaranya Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, tidak timbul isu sensitiviti agama di kalangan kehidupan masyarakat Islam di beberapa buah negeri antaranya Kelantan, Pulau Pinang dan tidak dengan pembinaan patung agama berbeza.

“Kita lihat di Kelantan yang di kenali sebagai Negeri Serambi Mekah, pembinaan patung atau mazu di negeri tersebut tidak merubah akidah umat Islam.

“Malah dalam Al Quran, Allah SWT berfirman dalam surah al Kafirun ayat 6 yang bermaksud: Untukmu agamamu dan untukku agamaku“ dan dalam surah al Qasas ayat 55 menyebut “ Bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalanmu”

“Justeru tidak timbul isu pembinaan patung Mazu ini boleh menjejaskan akidah masyarakat Islam,” katanya.

Bung berkata beliau difahamkan pihak pemaju projek ini akan membina menara patung Mazu ini tanpa menghalang kedudukan atau pandangan masjid daerah yang sedia ada.

Projek pembinaan patung Muza di Kudat dicadangkan hampir 20 tahun lepas semasa Tan Sri Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri.

Ia ditimbulkan semula oleh Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Chirstina Liew yang berharap projek terbengkalai sejak 2006 itu akan dibangunkan semula.

“Kita lihat di negara China, berjuta pelancong datang ke tanah besar itu semata-mata ingin melihat patung Quan Yin, jadi tidak mustahil Sabah juga akan menerima sejumlah besar pelancong dari luar negara.

“Jika kerajaan negeri melihat projek ini mampu menjana ekonomi negeri melalui sektor pelancongan maka ianya perlu diberikan pertimbangan sewajarnya dan menolak sentimen sempit yang menghalang gagasan Sabah Maju Jaya,” katanya.