TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah merampas longgokan kayu nibong yang ditemui terapung di peraian muara Sungai Inderasabah di sini.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, penemuan tersebut berlaku sekitar jam 8.30 malam kelmarin semasa rondaan Ops Sejahtera dijalankan.
Katanya, kayu-kayan berkenaan ditinggalkan tanpa sebarang pengawasan dan disyaki diseludup masuk dari negara jiran.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lima (5) longgokan yang diikat dengan 20 batang kayu nibong pelbagai saiz…
“Dianggarkan jumlah kesemua kayu yang ditemukan adalah lebih kurang 100 batang,” kata Siva sambil menambah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM15,000.
Kesemua kayu nibong tersebut dirampas dan ditarik ke muara Sungai Inderasabah kerana disyaki telah melanggar Enakmen Hutan 1968.
Kes seterusnya akan di serah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sabah Cawangan Tawau untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan visual serta soal siasat turut dijalankan di sekitar kawasan penemuan dan komuniti maritim berhampiran bagi mengesan pemilik kayu nibong tersebut namun tiada sebarang maklumat mengenai pemilikannya…
“Adalah dipercayai modus operandi penyeludup meninggalkan kayu nibong berhampiran muara sungai bagi mengelak dari dikesan dan ditahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.