Pengasuh Tampar Muka Bayi Berusia 11 Bulan

Pengasuh Tampar Muka Bayi Berusia 11 Bulan

0
SHARE
Pengasuh, Norsham Ismail, 67 didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan mencederakan bayi berusia 11 bulan.

SEREMBAN: Pengasuh pusat asuhan kanak-kanak didakwa di Mahkamah Sesyen, semalam atas pertuduhan mencederakan bayi perempuan berusia 11 bulan di bawah jagaannnya baru-baru ini.

Tertuduh, Norsham Ismail, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tramizi.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan telah menganiaya atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dengan cara menampar muka mangsa. 

Perbuatan itu dilakukan jam 7.47 hingga jam 7.59 pada 5 Februari lalu di sebuah taska di Desa Cempaka, Nilai.

Oleh itu, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta yang sama.

Jika disabit bersalah, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tempoh maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz telah memohon untuk mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Manakala, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A Partheeban telah memohon kepada mahkamah untuk mengenakan jaminan paling rendah dan munasabah.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dan menetapkan 13 Mac sebutan semula keputusan penuh laporan perubatan. 

7 Februari lalu, media melaporkan seorang pengasuh wanita di sebuah pusat asuhan kanak-kanak ditahan polis selepas disyaki mendera seorang bagi perempuan berusia 11 bulan ketika dalam jagaannya pada 5 Februari.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 20-an mengenai kejadian terbabit pada jam 6.12 petang 6 Februari.