Penunggang Motosikal Maut Langgar Lampu Merah di Kolombong

Penunggang Motosikal Maut Langgar Lampu Merah di Kolombong

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di persimpangan lampu isyarat BSA Kolombong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam kira-kira 9.55 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal yang datang dari arah Inanam dipercayai bergerak lurus ketika lampu isyarat berwarna merah sebelum melanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan MPV yang sedang membelok ke kanan menuju ke BSA Kolombong selepas lampu isyarat bertukar hijau.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 10 pagi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembonceng motosikal serta pemandu MPV mengalami kecederaan dan telah dibawa mendapatkan rawatan lanjut.

Pemeriksaan awal mendapati motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala MPV mengalami kerosakan pada bahagian sisi kiri.

Tambahnya, pihak polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk mengambil gambar dan lakaran rajah kasar, mengesan saksi bebas, menahan kenderaan terlibat untuk pemeriksaan Puspakom serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222.