Kementerian Pelancongan Sabah Sasar 4 Juta Ketibaan Pelancong Tahun Ini

Kementerian Pelancongan Sabah Sasar 4 Juta Ketibaan Pelancong Tahun Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menyasarkan sebanyak empat juta ketibaan pelancong ke negeri ini sepanjang tahun 2026, sejajar dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026) yang dilancarkan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlang tahun lalu apabila Sabah berjaya mencatatkan lebih 3.6 juta pelawat, melepasi sasaran awal 3.5 juta pelancong berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Jafry, Sabah mempunyai kekuatan tersendiri sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan keindahan alam semula jadi yang lengkap merangkumi lautan yang bersih, hutan hujan tropika, banjaran gunung serta kepelbagaian budaya masyarakat tempatan yang menjadi aset utama menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

“Sabah memiliki beberapa tapak yang mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk Gunung Kinabalu, Banjaran Crocker serta kawasan Sukau yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO. Semua ini menjadi tarikan utama pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Acara Sambutan di Pintu-Pintu Masuk Negara dan Hab Pengangkutan Utama Sempena Visit Malaysia 2026 yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Mengulas mengenai isu keselamatan susulan peningkatan kemasukan pelancong, beliau menegaskan aspek keselamatan diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri dengan penambahbaikan berterusan terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta kemudahan asas bagi memastikan pelancong bukan sahaja selesa, malah berasa selamat sepanjang berada di Sabah.

Menjawab pertanyaan berhubung penutupan beberapa laluan penerbangan ASEAN sebelum ini, Jafry menyifatkannya sebagai strategi perniagaan syarikat penerbangan dan tidak memberi kesan besar kepada industri pelancongan negeri. Beliau yakin Sabah akan terus menjadi destinasi pilihan utama pelancong antarabangsa.

Mengenai pembangunan dan pengkomersialan Sukau, beliau berkata walaupun lokasi itu agak jauh, kawasan berkenaan mempunyai potensi besar terutama dalam segmen ekopelancongan, dengan kehadiran pelancong dari Eropah dan Jepun yang semakin meningkat.

“Kerajaan negeri akan memastikan Sukau terus dipromosikan sebagai destinasi unik yang menggabungkan pemuliharaan alam dan kehidupan komuniti setempat, selaras dengan status Rizab Biosfera UNESCO, bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah,” katanya.