KOTA KINABALU, SABAH – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Mohd Nor diingatkan untuk jangan berlagak sombong dengan cuba mengekang hak bersuara.
Demikian kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar yang baru-baru ini menyarankan UMNO Sabah bekerja semula dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memandangkan parti berkenaan semakin lemah di Sabah.
Zulkarnain menegaskan bahawa Sebagai seorang bekas aktivis dan ahli UMNO sejak hampir 30 tahun, dia juga mempunyai hak bercakap mengenai masa depan UMNO khususnya di Sabah.
Jeffrey terdahulu menyelar Zulkarnain dengan bertanyakan ‘locus standi’ (kebolehannya) bagi menentukan hala tuju UMNO di Sabah.
“Saya bukannya menentukan hala tuju UMNO sebaliknya hanya menyatakan pandangan yang dibenarkan dari sudut undang-undang…
“Saya juga adalah individu barisan hadapan yang turut sama membantu UMNO secara langsung menumbangkan Parti Warisan pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) dan terlibat hampir kesemua PRN di Sabah dalam membantu UMNO.
“Saya hanya menyarankan kerjasama dengan GRS demi kebaikan UMNO walaupun mengetahui parti itu semakin melemah selepas ramai pimpinan UMNO keluar parti apabila kudeta bersama Parti Warisan yang dilancarkan menemui kegagalan.
“Saya juga faham bahawa akhirnya kerjasama dengan mana-mana parti di Sabah akan diputuskan melalui mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO (AMT),” tegasnya.
Zulkarnain turut menegaskan bahawa sarananya itu juga selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana Barisan Nasional turut membentuk Kerajaan Perpaduan.
Zulkarnain menjelaskan “serangan” pihaknya hanya tertumpu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar dan pimpinan UMNO yang menyokong Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bukannya Parti UMNO itu sendiri.