Piala Suzuki AFF 2020: Skuad Garuda Benam Harimau Malaya 4-1

Piala Suzuki AFF 2020: Skuad Garuda Benam Harimau Malaya 4-1

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Langkah skuad Harimau Malaya terhenti untuk mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 selepas ditewaskan skuad bola sepak Indonesia 4-1 di Stadium Nasional, Singapura malam tadi.

Malaysia yang berada di Kumpulan B memulakan permainan dengan baik apabila mendapatkan gol awal melalui Kogileswaran Raj pada minit ke-13.

Pemain skuad Harimau Malaya, R Kogileswaran (kanan) melakukan rembatan ke arah gawang Indonesia pada aksi Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura, malam tadi…(Sumber Foto: AFP)

Namun, skuad Garuda menjadi agresif dengan menunjukkan permainan pantas akibat gol berkenaan dan akhirnya meledak gol penyamaan pada minit ke-36 melalui Irfan Jaya.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang terlalu fokus kepada seraangan menyebabkan alpa kepada benteng pertahanan mereka apabila pemain Indonesia, Irfan Jaya sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-43 setelah melihat situasi kelam kabut di depan pintu gol Malaysia.

Bermula babak kedua, rembatan deras Pratama Arhan menggegarkan gawang gol skuad Harimau Malaya hanya selepas lima minit permainan bermula.

Walaupun pengendali Cheng Hoe melakukan beberapa perubahan iaitu meletakkan Dion Cools bermain di posisi atas dan memasukkan Guilherme De Paula serta Akhyar Rashid pada minit ke-60, namun tetap tidak mampu mengubah nasib pasukan kebangsaan.

Pemain skuad Harimau Malaya, Baddrol Bakhtiar (dua kanan) bersaing dengan pemain Indonesia pada aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional Singapura…(Sumber Foto: AFP)

Sebaliknya, Indonesia menjaringkan lagi gol seterusnya pada minit ke-82 menerusi Elkan Baggott dan keputusan 4-1 kekal hingga wisel penamat.

Kekalahan kepada skuad Garuda malam tadi menyebabkan skuad Harimau Malaya hanya menamatkan saingan peringkat Kumpulan B di kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata serta tidak mencapai sasaran yang telah diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mara ke final pada edisi kali ini.