JIM Tahan 24 Pati Di Setinggan Lahad Datu Dalam Operasi Tengah Malam

JIM Tahan 24 Pati Di Setinggan Lahad Datu Dalam Operasi Tengah Malam

0
SHARE
Antara PATI yang ditahan JIM dalam operasi tengah malam di Lahad Datu pada Selasa - Ihsan JIM Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 24 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Filipina termasuk seorang warganegara Indonesia telah diatahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi di kawasan rumah setinggan di daerah Lahad Datu pada Selasa.

Mereka terdiri daripada 16 orang lelaki dewasa, 4 orang wanita, 2 orang kanak-kanak lelaki dan seorang orang kanak-kanak perempuan, manakala warganegara Indonesia merupakan seorang lelaki dewasa.

Operasi 4 jam bermula 12 tengah malam itu melibatkan 63 orang pegawai daripada Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu, Pejabat Imigresen Lahad Datu, Pejabat Imigresen Tawau dan Pejabat Imigresen Sandakan.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan daripada aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri.

“Seramai 53 orang telah diperiksa dalam operasi. PATI yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan iaitu tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Kesemua yang ditahan berumur di antara 5 bulan hingga 55 tahun terdiri daripada 19 orang lelaki dan 5 perempuan.

“Tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sitti berkata kesukaran akses ke kawasan setinggan dengan keadaan struktur rumah yang tidak teratur serta berlumpur menyukarkan anggota penguatkuasa dalam menjalankan operasi.

Selain itu, katanya, kawasan rumah setinggan tersebut yang berbukit-bukau juga memberi kesukaran kepada kenderaan penguatkuasa untuk memasuki kawasan tersebut.

“Namun operasi telah berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah Jafri Embok Taha, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) dan Basri Othman, Pengarah Bahagian Operasi daripada Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.