Tiada Hala Tuju, 15 Ketua Cabang PKR Sabah Desak Sangkar Letak Jawatan

Tiada Hala Tuju, 15 Ketua Cabang PKR Sabah Desak Sangkar Letak Jawatan

0
SHARE
Pkr
Sazalye (duduk tengah) pada sidang media terbabit

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 15 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menggesa Datuk Sangkar Rasam agar meletak jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

Ketua PKR Bahagian Kota Marudu selaku jurucakap kumpulan itu, Sazalye Donol, berkata sejak dilantik pada 2022, Sangkar tidak membuat apa-apa untuk mengukuhkan parti.

“Dia hanya tahu menganjurkan jamuan untuk pemimpin pusat yang datang melawat.

“Setiap kali bermesyuarat, tiada apa yang dicapai dan hala tuju kami sebagai sebuah parti tidak jelas,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Katanya, 15 individu itu telah menandatangani akuan berkanun (SD) yang disampaikan kepada Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Azman Abidin.

“Terdapat lebih ramai ketua bahagian yang menyokong usul ini namun belum menandatangani SD.

“Jumlah 15 daripada 26 bahagian PKR di Sabah termasuk Labuan merupakan suara majoriti,” beliau berkata.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menamakan calon pengganti kepada Sangkar.

“Tiada jawatan, bertanding pun kalah…Sebagai sebuah parti tidak patut apabila bermesyuarat dia duduk lebih tinggi berbanding menteri atau pembantu menteri,” katanya.

PKR Sabah mempunyai Datuk Mustapha Sakmud sebagai Pembantu Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Christina Liew sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Peto Galim sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan.