PENAMPANG, SABAH – Polis menahan lima lelaki dan merampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan kes pecah rumah melibatkan sebuah rumah tidak berpenghuni yang sedang diubah suai di daerah ini, dengan anggaran kerugian kira-kira RM10,000.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat selepas Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang menyerbu sebuah rumah di Putatan hasil maklumat risikan.
“Semua suspek berusia antara 26 hingga 31 tahun. Pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan dadah, manakala saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Penampang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Beliau menegaskan polis akan terus komited membanteras jenayah harta benda dan menasihatkan orang awam supaya memastikan premis, khususnya yang tidak berpenghuni, sentiasa berada dalam keadaan selamat serta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa.






