RIYADH – Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi hari ini menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat di kebanyakan wilayah di negara itu, mulai Jumaat sehingga Selasa depan.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram akan turut terkesan berikutan fenomena itu.
Menurut SPA, angin kencang berdebu turut diramal berlaku di beberapa tempat termasuk kawasan Masyair di Makkah dan Madinah selain Taif, Maysan, Adham, Al-Khurma, Al-Ardiyat dan beberapa kawasan berhampiran di wilayah sempadan utara.
Direktorat itu menjelaskan jangkaan hujan sederhana hingga lebat dan angin kencang berdebu akan melanda wilayah Riyadh, Afif, Dawadmi, Al-Quwaiyah, Al-Majma’a, Al-Zulfi, Al-Ghat dan Ramah.





