TUARAN, SABAH – Keberadaan seorang remaja yang dilaporkan hilang semasa mandi di Sungai Kampung Sekudung, Serusup, pada Jumaat lalu akhirnya terjawab dengan penemuan jenazahnya.
Penduduk kampung menemui mangsa, Mohamad Amar Qayyum Rasmi, 15, terapung dan tersangkut di kawasan bakau kira-kira enam (6) kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang pada 8.13 pagi tadi.
Penemuan ini selepas operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ketiga yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata operasi pencarian disambung pada jam 6.30 pagi tadi.
“Orang awam yang menemui mangsa memaklumkan kepada Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk tindakan segera…
“Pasukan bomba kemudian segera bergegas ke lokasi dengan memakai kelengkapan PPE untuk mengambil mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat mangsa segera dibawa balik ke PKTK sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan segera sebaik dikeluarkan daripada kawasan bakau,
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi Search and Rescue (SAR) ditamatkan jam 9.30 pagi,” kata Abdul Qawie.
Kira-kira jam 3.30 petang Jumaat lalu, mangsa berasal dari Kampung Bolong Lama dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga rakannya.
Sebaik disedari hilang, rakan mangsa terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.
Operasi pencarian yang turut melibatkan, Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam dan anjing pengesan serta menggunakan pelbagai teknik lain terpaksa ditangguhkan dua kali ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.