Jabatan Air Sabah Rancang Bina Intake Baharu ke Empangan Air Betotan

Jabatan Air Sabah Rancang Bina Intake Baharu ke Empangan Air Betotan

0
SHARE
Limus
Limus (kanan) ketika menerima dokumen daripada rakan sejawatnya, Datuk Robert Tawik @ Nordin ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Air Negeri Sabah merancang untuk membina intake baharu ke empangan air Betotan serta menaik taraf Loji Rawatan Air Segaliud.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata tindakan pelaksanaan kedua-dua cadangan tersebut dirangka akan bermula pada pertengahan tahun 2024, setelah mendapat kelulusan siling daripada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negeri.

“Ia bertujuan melantik Perkhidmatan Perundingan Kejuruteraan untuk menyediakan dan melaksanakan Kajian Kemungkinan Terperinci dan Rekabentuk untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Segaliud termasuklah pembinaan mukasauk baharu, Sandakan.

“Terma dan syarat (term of reference) untuk menjalankan kerja-kerja kajian ini adalah untuk mengkaji serta mengenal pasti lokasi baharu sumber air mentah yang mempunyai keupayaan bagi menampung keperluan permintaan bekalan air sehingga tahun 2050 dan seterusnya, merekabentuk Loji Rawatan Air Baharu dengan kapasiti sebanyak 125 juta liter sehari,” ujar beliau.

Beliau memaklumkan, selepas penyediaan kajian terperinci dan rekabentuk tersedia, projek berkenaan akan dimasukkan dalam cadangan Program Jangka Panjang Bekalan Air Negeri Sabah di bawah Rolling Plan (RP1) RMKe-13 untuk pertimbangan kelulusan projek dan akan dilaksanakan pada tahun 2026.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan diajukan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kun yang bertanya bila cadangan pembinaan intake baharu ke empangan air Betotan dan Loji Air Rawatan Air Segaliud akan dilaksanakan semasa pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan lisan di Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Gum-Gum, Arunamsin Taib yang inginkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh Kementerian Kerja Raya, Limus memaklumkan, pihaknya telah melakukan penukaran paip-paip yang telah usang bagi mengurangkan kadar kekerapan paip pecah di samping mengemukakan cadangan menaik taraf sistem borehole bagi Loji Sibuga dan Hilltop, cadangan kajian kemungkinan Bagi mengenal pasti lokasi baharu sumber air mentah dan cadangan penambahan kapasiti loji rawatan air segaliud dianggarkan bekalan air semasa bagi Daerah Sandakan hanya mampu bertahan pada sekitar tahun 2026.

Selain itu, beliau turut memaklumkan Loji rawatan Air segaliud memerlukan pembaikan secara menyeluruh dan loji tersebut perlu dioperasikan oleh pihak ketiga syarikat konsesi menjamin kecekapan perkhidmatan, memerlukan kompeten menghapuskan sistem red tape. — JABATAN PENERANGAN SABAH