PPBLM Zahirkan Rasa Syukur Terhadap Kerajaan Negeri Sabah Atas Sumbangan Yang Diberikan

PPBLM Zahirkan Rasa Syukur Terhadap Kerajaan Negeri Sabah Atas Sumbangan Yang Diberikan

0
SHARE
Pengurus SR Events Production Haji Sharom Abd Ghaffar sambil diperhatian Arifin, Limus dan Samin turut menyampaikan sumbangan kepada seorang pengusaha bot laju...

MENUMBOK, SABAH – Persatuan Penambang Bot Laju Menumbok (PPBLM) menzahirkan syukur kepada Kerajaan Negeri Sabah di atas sumbangan kepada ahli yang terkesan sumber pendapatan mereka ekoran penularan pandemik COVID-19.

Pengerusinya Mohamad Sait berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, pengusaha Bot penambang laju Menumbok sudah mula terkesan walaupun ketika itu mereka boleh beroperasi tetapi dengan tidak sepenuhnya.

Menurut beliau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), sewaktu PKP kedua dan ketiga dikuatkuasakan, ia merupakan saat yang paling getir kepada persatuan yang melibatkan seramai 130 orang pengusaha termasuk perkerja di mana mereka terputus sumber pendapatan harian dengan penghentian operasi.

“Alhamdulillah kerajaan negeri amat prihatin melalui beberapa agensi yang tampil mengHulurkan sumbangan…

“Kami amat berterima kasih khususnya kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Haji Mohd Arifin Arif yang amat cakna dengan nasib kami selain beberapa individu yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban ahli-ahli kami,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan tersebut.

Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Haji Mohd Arifin Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, Pengarah YADIM Sabah Haji Samin Ongki, Pengurus Besar Perbananan Baitulmal Negeri Sabah Salman Nurilah, Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali dan Pegawai Daerah Kuala Penyu, Sebastian Ingkim.

Pada majlis tersebut Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) menyumbang sebanyak RM13,000.00 Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Agama Islam sabah RM5,000.00 selain sumbangan bakul makanan dari Yayasan Dakwah Malaysia Cawangan Sabah (YADIM) dan juga seorang pengusaha acara dari SR Events Production Haji Sharom Abd Ghaffar yang turut menyumbangkan baucer untuk pembelian barangan.

Pengerusi Persatuan Penambang Bot Laju Menumbok Mohamad Sait diperhatikan Arifin dan Limus menerima repalika cek dari Pengurus Besar PBNS Salam Nurilah semasa majlis tersebut…

Mohamad berkata dengan adanya sumbangan tersebut, sedikit sebanyak dapat meringankan beban ahli persatuan dan keluarga mereka yang mana kebergantungan mereka mencari sumber pendapatan harian hanya kepada aktiviti tersebut.

Beliau juga turut menzahirkan harapan agar mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan ‘one-off’ di bawah Bantuan Sabah Prihatin 3.0 sebagaimana yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.

“Penularan pandemik virus COVID-19 tidak akan berakhir dalam masa terdekat apa lagi ketika ini Labuan terjejas teruk dengan penularan tersebut menyebabkan bot kami tidak dapat beroperasi ke sana,” tambah Mohamad.

Sementara itu, Arifin ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata, sumbangan tersebut merupakan sumbangan dari Syarikat yang berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah program tanggungjawab sosial mereka untuk sama-sama membantu rakyat di negeri ini.