SPRM Tumpaskan Ketua Kumpulan Judi Haram Tawau

SPRM Tumpaskan Ketua Kumpulan Judi Haram Tawau

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah memberkas seramai tiga (3) suspek di Bandar Tawau kerana menjalankan aktiviti perjudian haram dalam sebuah serbuan kelmarin, 21 Jun (Isnin).

Ketiga-tiga suspek melibatkan seorang lelaki berumur lingkungan 42 tahun dan dua orang perempuan berumur lingkungan 23 dan 57 tahun.

Menurut sumber, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy berkata lelaki tersebut dipercayai ketua kumpulan yang giat menjalankan aktiviti perjudian haram di sekitar bandar Tawau.

“Turut dirampas ialah sejumlah wang tunai berjumlah kira-kira RM40,000 dan sitaan akaun berjumlah lebih RM300,000 melibatkan empat buah akaun bank milik suspek yang dipercayai hasil daripada kegiatan aktiviti perjudian haram tersebut…

“Selain daripada itu, SPRM juga turut melaksanakan Perintah Pembekuaan Akaun di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) milik suspek,” katanya.

Lelaki tersebut dipercayai telah membayar wang rasuah kepada beberapa anggota agensi penguatkuasa di sekitar Tawau bagi melindungi kegiatan perjudian haram yang dijalankannya sejak beberapa tahun lalu.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.

“Kesemua individu tersebut akan direman mulai hari ini (Selasa) bagi membantu siasatan dan beberapa siri tangkapan susulan akan dijalankan,” kata Karunanithy.