JAWA TENGAH, INDONESIA – Seorang guru di Daerah Demak cedera parah selepas ditetak pelajarnya yang tidak berpuas hati kerana dilarang mengambil peperiksaan penilaian pertengahan semester.
Memetik laporan Tribun Jateng, kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 pagi Isnin (25 Sept).
Pengetua Madrasah Aliyah yang dikenali sebagai Masrukin memakumkan yang mangsa sedang mengawasi para pelajarnya sebelum dihampiri suspek yang datang dengan menunggang motosikal.
“Sebelum meluru ke arah guru yang bernama Fathkur itu, suspek sempat memberi salam dan mengeluarkan sebilah pisau kecil dari belakang badannya.
“Mangsa sedang duduk di meja sambil mengawasi para pelajar yang sedang menduduki peperiksaan.
“Suspek masuk ke dalam kelas, sempat memberi salam sebelum menikam mangsa,” ujarnya.
Menurutnya, setelah mencederakan bahagian belakang leher dan lengan kiri gurunya, suspek mencampakkan senjata dan segera beredar.
Susulan serangan tersebut, guru berkenaan mengalami kecederan parah dan luka tikaman sedalam 10 sentimeter.
“Mangsa segera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
“Suspek memang pelajar yang agak bermasalah dan sudah lama tidak masuk ke dalam kelas,” jelas Marsukin.
Ketua Polis Wilayah Kebonagung, Suwondo, dalam sebuah kenyataan berkata motif jenayah merupakan dendam.
“Suspek dipercaya selalu tidak hadir ke sekolah dan tidak menyelesaikan kerja sekolah yang diberi oleh mangsa.
“Suspek juga pernah ditegur dan dinasihati oleh mangsa, tetapi suspek tidak dapat menerimanya,” ujarnya.
Menurut laporan detiknews pada Selasa, polis berjaya menangkap suspek 12 jam selepas insiden dalam sebuah rumah kosong di Desa Rowosari, Kecamatan Gubug, Groboga pada kira-kira 11.30 malam.
Memetik kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Demak, AKP Winardi, suspek bakal berdepan hukuman penjara 12 tahun.
Difahamkan, suspek lelaki itu bersekolah sambil membantu keluarganya mencari nafkah dengan berjualan nasi goreng.
“Berdasarkan pengakuan suspek, suspek menyesali perbuatannya,” ujarnya.