LAHAD DATU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meluluskan pemulangan tanah adat seluas 400 hektar (ha) di Tambisan susulan perkara itu dibangkitkan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah dan Kerajaan Negeri.
“Jadi baiklah kalau begitu, saya setuju untuk serah balik setelah dibuat ukuran oleh kerajaan negeri dan saya akan bincang dengan Felda bagaimana.
“Berapa puluh tahun, berapa banyak kerajaan silih berganti, Alhamdulillah Kerajaan Madani dengar, terus luluskan,” katanya pada Program Santunan Budi, Tautan Kasih Felda Madani di Padang Bandar Felda Wilayah Sahabat pada Khamis.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata bahawa pentadbiran Kerajaan Madani lebih tegas dan tidak bertolak ansur dengan mereka yang mencuri duit atau mengambil hak rakyat.
Katanya, perkara itu perlu dijelaskan kerana apa individu-individu ini didakwa, ia ditafsirkan sebagai dendam beliau.
Anwar turut mengingatkan agar rakyat perlu memilih pemimpin yang berintegriti, yang bersih dan menjaga kepentingan rakyat kerana bila kita pilih orang yang hormat negara, negara akan untung.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pembinaan sebuah pusat dialisis di kawasan Felda Sahabat untuk keselesaan penduduk selain mengingatkan rakyat agar sentiasa menjaga dan kesihatan serta mengurangkan kadar pengambilan gula.
Turut hadir ialah Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Chek dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.