Ibu Bapa Perlu Cakna Penggunaan Internet Anak – Fahmi

Ibu Bapa Perlu Cakna Penggunaan Internet Anak – Fahmi

0
SHARE
Fahmi
Fahmi menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Bengkel Asas Media Sosial anjuran FINAS sambil disaksikan Kamil (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Ibu bapa perlu cakna penggunaan internet anak-anak dibawah umur 13 tahun terutama media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ibu bapa perlu mengambil perhatian terhadap kandungan yang dilayari oleh anak-anak mereka agar tidak melayari kandungan yang tidak berfaedah.

Fahmi turut menegaskan bahawa kanak-kanak dibawah umur tersebut juga tidak sesuai mengguna atau memiliki akaun media sosial kerana didapati mudah dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Penetapan larangan tersebut adalah berikutan saranan dan hasil kajian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mendapati kanak-kanak dibawah umur tersebut mudah ditipu dan dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan negatif.

“Pastikan anak-anak di dalam lingkungan umur ini tidak memiliki akaun TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain.

“Tidak boleh, sebab terlalu banyak masalah yang berlaku apa yang disebut sebagai pengantunan seksual atau sexual grooming dan mencuri data dan maklumat peribadi berlaku ketika ini.

“Bayangkan wajah anak kita terpampang di media sosial dengan berpakaian seragam dan lencana sekolah ini membolehkan pihak tertentu mengetahui lokasi sekolah anak dan ini mendedahkan anak kita kepada kejadian colek dan lain-lain lagi.

“Perkara ini telah berlaku, pernah berlaku dan terus akan berlaku sekiranya sebagai ibu bapa kita tidak cakna atau tidak prihatin dan membenarkan anak-anak kita menggunakan platform media sosial pada usia yang terlalu muda,” katanya ketika merasmikan Program Karnival Hari Malaysia Peringkat Daerah Putatan di perkarangan Dewan Sri Putatan dekat sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menyeru kepada orang ramai untuk terus mengukuhkan perpaduan dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

“Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada Isnin ini marilah kita bersama mengekalkan sinergi perpaduan dan kestabilan politik agar kemajuan teknologi dan limpahan ekonomi dapat dinikmati bersama.

“Dengan kukuhnya perpaduan dan kestabilan politik segala perancangan yang disusun oleh pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan untuk kebaikan rakyat akan dapat dicapai dan dinikmati bersama” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmadshah Awang Sahari, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman, Pegawai Daerah, Masawi Salleh, Ketua Polis Daerah Penampang, Supritendan Sammy Newton, Pengerusi Southern Catalyst Sdn Bhd, Awang Husaini Awang Sahari dan Presiden Pertubuhan Wira Sukarelawan Sabah, Nurardiana Redzuanto yang juga Pengerusi Penganjur Karnival Hari Malaysia Peringkat Daerah Putatan. — JABATAN PENERANGAN SABAH