Jabatan, Agensi Disaran Anjur Dua Kempen Derma Darah Setahun

Jabatan, Agensi Disaran Anjur Dua Kempen Derma Darah Setahun

0
SHARE
Peto
Peto (empat kiri) menerima cenderamata daripada Presiden Persatuan Transfusi Darah Malaysia, Datuk Dr Faraizah Abd Karim ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Setiap jabatan di bawah kerajaan negeri disaran untuk menganjurkan sekurang-kurangnya dua kempen derma darah setiap tahun.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey G.m Kitingan berkata, berdasarkan rekod 2020, Sabah mempunyai 1907 pesakit Talasemia yang memerlukan transfusi darah.

“Angka tersebut dianggarkan meningkat setiap tahun kira-kira 10 sehingga 20 pesakit.

“Selain pesakit Talasemia, bekalan darah juga diperlukan bagi pesakit hematologi, pembedahan dan kemalangan sekaligus menjadikan Sabah negeri terbanyak memerlukan bekalan tersebut.

“Oleh itu, kerajaan negeri mencadangkan agar projek Hashtag DD (#DD) atau Double Donation diadakan oleh setiap jabatan kerajaan negeri iaitu perlu mengadakan kempen derma darah dua kali setahun.

“Ini menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan para pesakit dapat menerima rawatan perubatan optima dengan membekalkan darah yang cukup, selamat dan tepat pada masanya,” katanya semasa merasmikan Konferens Transfusi Perubatan Kebangsaan Ke-11 di sini, pada Jumaat.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Peto Galim.

Beliau turut memaklumkan bagi aspek lokasi dan pengangkutan, adalah amat bertepatan sekiranya Sabah memiliki beberapa lokasi tetap derma darah yang selesa dan memudahkan penderma seperti di pusat beli-belah dan pusat konvensyen.

Konferens tersebut disertai oleh 400 delegasi berdaftar dan membincangkan topik amalan transfusi inovatif, mengatasi cabaran sistemik dan perkembangan terkini terapi darah serta plasma. — JABATAN PENERANGAN SABAH