IPOH, PERAK – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang memaklumkan Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 petang pada Ahad ketika beliau dihubungi melalui aplikasi WhatsApp sebentar tadi.
Menurut sumber, Allahyarham yang disahkan positif COVID-19 pada 11 Mei lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB berikutan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menzahirkan ucapan semoga keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi dugaan ini.
Dalam hantaran Dr. Zulkifli dalam Facebook miliknya, beliau turut memuat naik satu gambar kenangan beliau bersama Allahyarham.
“Ini gambar kenangan yang masih saya simpan, ziarah terakhir sekitar 3 tahun lalu. Setiap kali ke Perak, saya akan usahakan untuk mengunjungi beliau. Memohon doa dan restu “orang lama” yang juga ilmuan yang amat disegani…

“Moga Allah SWT tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh, disisi-Nya. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham Harussani dilantik sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.
Antara jawatan disandang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.





