KUALA LUMPUR – Seramai empat rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev dilaporkan masih berada di Ukraine selepas tempoh evakuasi baru-baru ini.
Difahamkan dalam kalangan mereka, ada yang telah berkahwin dengan warganegara tempatan di Ukraine.
Semasa bercakap di Dewan Rakyat Hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihak kedutaan melalui kerjasama Perwakilan-Perwakilan Malaysia di negara berdekatan Ukraine sentiasa berhubung rapat dengan warganegara Malaysia yang masih berada di Ukraine.
“Pihak Kedutaan kita sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya mereka berhasrat untuk keluar dari negara itu,” katanya…
Beliau menjawab pertanyaan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang memintanya menyatakan sama ada kerajaan menyedari bahawa ramai rakyat Malaysia terkandas di Ukraine dan jenis bantuan yang telah serta akan disalurkan bagi membantu mereka.
Menurut Saifuddin, bantuan yang diberikan termasuk memudah cara urusan kemasukan di sempadan-sempadan negara, urusan dokumentasi seperti pengeluaran Sijil Perakuan Cemas bagi individu yang memerlukan, memastikan keadaan serta kebajikan mereka sentiasa terpelihara dan lain-lain urusan yang berkaitan.





