TENOM, SABAH – Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony berkata untuk memfailkan laporan kepada Makhamah Tinggi pada Isnin bagi menyemak keputusan pencalonan beliau yang telah ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pagi tadi.
Dakwanya, peluang beliau untuk bertanding kerusi P.181 Tenom yang disandang Noorita Sual (DAP) ditidakkan “tangan ghaib” di peringkat persekutuan.
“Tiada masalah di peringkat Pegawai Pengurus Pilihanraya (PPP) dan SPR Sabah. Proses pencalonan telah berlaku dengan lancar, menepati masa bersertakan dokumen lengkap dan pembayaran penuh deposit RM15,000.
“Saya juga diberikan cabutan undi nombor calon, kami dapat nombor satu (1). Lima calon yang lain juga mendapat nombor masing-masing dan kami berenam telah diumumkan sebagai calon.
“Malangnya appabila kami bersedia untuk keluar bagi pengumuman seterusnya di luar Dewan Antanom, PPP mengumumkan terdapat bantahan daripada SPR pusat…
“Penghakiman kes saya di Kuala Lumpur baru-baru ini telah digantung, bererti saya tiada apa-apa kesalahan.
“Sekarang seolah-olah saya seorang penjenayah dan tidak layak untuk bertanding,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Akibat pengumuman itu, penyokong-penyokong PKDM bertindak menyerbu Pusat Penamaan Calon tersebut sehingga gas pemedih mata terpaksa dilepaskan pihak polis ke arah beratusan perusuh dalam insiden yang tular itu.
“Saya memohon maaf atas kesulitan dan ketidakselesaan yang bangkit semasa berjalan pencalonan hari ini. Perkara itu mencetuskan ketidak puas harian lebih lima ribu penyokong PKDM Tenom.
“Namun kita agak hairan mengapa semua itu berlaku pada saat akhir dan keputusan awal ditarik semula atas campur tangan tangan ghaib yang cuba merosakkan demokrasi di Malaysia ini…
“Saya dan penyokong-penyokong tidak akan berputus asa selagi wujudnya Makhamah Undang-Undang. Biar Makhamah menentukan kelayakkan saya,” katanya.
Mengikut beliau, insiden itu hanya menguatkan semangat tujuh calon PKDM di Sabah sekaligus melahirkan barisan wakil rakyat yang lebih berani.