KOTA KINABALU, SABAH – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah memuji sifat setia kawan UMNO yang baru-baru ini menyatakan akan terus kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata mandat rakyat yang telah diberikan itu akan dibawa ke penggal terakhir ataupun selamanya.
“GRS masih baru dan dalam keadaan negara sekarang lebih baik kerajaan hari ini berterusan sehingga 2023 atau PRU-15…
“Selesaikan isu pandemik dan hal ehwal masyarakat dahulu baru lah kita tunggu pilihan raya di mana rakyat akan memilih. Siapa yang dapat mandat maka dia yang akan memerintah,” katanya.
Bagi PAS Sabah, Aliakbar berkata akan bergerak seperti biasa mengikut presiden Abdul Hadi Awang di mana fokus adalah kepada menangani pandemik dan menyelesaikan hal ehwal masyarakat serta menjaga kebajkan rakyat.
“Kurangkan polemik politik dan fokus kepada menangani pandemik kerana sebahagian masyarakat sudah merasa muak…
“Ada yang dapur mereka tidak berasap (tiada makanan) jadi itu patut menjadi keutamaan satu kerajaan yang adil,” tambah beliau.
Katanya suasana politik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak tidak berbeza kerana semua sama dilanda wabak Covid-19.
Aliakbar juga menasihati pihak pembangkang untuk berhenti mengambil kesempatan untuk membuta berpolitik dan sebaliknya memberikan kerjasama kepada kerajaan sehingga negara bersih dari pandemik.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Rak Amal Kongsi Rezeki di Plaza Kingfisher hari ini.
Program ‘food bank’ berkenaan merupakan kerjasama antara Pejabat ADUN, Yayasan Amal Malaysia dan Majlis Getah Malaysia.
Aliakbar berkata buat masa ini, rak berkenaan sudah wujud di lapan (8) daerah tapi akan diusahakan untuk dibuka ke seluruh Sabah.
“Sesiapa yang memerlukan atau ingin menyumbang boleh berurusan dengan tuan kedai berkenaan…
“Konsepnya adalah terbuka di tempat awam dan senang diakses supaya yang benar-benar memerlukan tidaklah perlu bersegan silu.
“Biasanya rak seperti ini diletakkan di tempat ibadah tapi itu mungkin satu halangan kepada penganut agama lain,” katanya.
“Andainya ada yang memerlukan barang yang tidak ada pada rak tersebut, mereka boleh terus berhubung dengan nombor yang tertera…
“Program ini bertujuan untuk mendidik rasa kasih sayang antara insan,” kata beliau.